Perhimpunan dua kumpulan boleh ganggu ketenteraman
KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti terdapat unsur hasutan dan provokasi dalam Perhimpunan 100,000 Rakyat menentang dan menyokong ISA yang akan diadakan esok dan memberi amaran tegas untuk menahan mana-mana pihak yang menyertai perhimpunan itu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pemerhatian pihaknya mendapati dua kumpulan penganjur itu mempunyai agenda berbeza yang boleh menimbulkan suasana tegang serta mengganggu ketenteraman awam.
“Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) adalah pihak menentang manakala Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) pula menyokong ISA dikekalkan. Namun, kedua-duanya tidak pernah memohon sebarang permit untuk mengadakan perhimpunan serta perarakan itu.
“Ini sudah jelas bercanggah dengan undang-undang negara dan pihak polis memberi amaran akan bertegas dalam hal ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Katanya, walaupun pihak penganjur menyatakan perhimpunan itu akan dilakukan secara aman, namun tiada jaminan boleh diberikan ekoran kedua-duanya mempunyai pendapat berbeza.
“Pihak penganjur dinasihatkan supaya membatalkan hasrat mereka sebagai langkah pencegahan demi keselamatan masyarakat.
“Selain itu, perhimpunan dan perarakan itu membabitkan ramai penyokong yang memberi kesan negatif kepada pelancong, peniaga serta kesesakan lalu lintas,” katanya.